Sunday, April 11, 2010

Umno Tipu Tanah Penduduk Felda Sg Buaya

Oleh Rusnizam Mahat, suara keadilan

SUNGAI BUAYA 11 Apr - Kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Umno-Barisan Nasional didakwa menipu penduduk Felda Sungai Buaya dengan mengambil tanah mereka tanpa diberikan pampasan seperti yang dijanjikan lebih 16 tahun dahulu.


Pasti ramai yang masih mengingati kisah 363 peneroka Felda Sungai Buaya yang ditipu dengan janji-janji manis syarikat pemaju yang kononnya mahu menjadikan mereka jutawan segera.


Kisah itu berlaku ketika Selangor di bawah pimpinan Umno dan dipimpin Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Selama itu juga, penduduk Sungai Buaya hidup dalam penderitaan selepas tanah kebun mereka dijual kepada syarikat pemaju, Murna Jaya Development Bhd kononnya bagi dibangunkan dengan projek perumahan.


Namun impian mereka berkecai dengan harapan dan janji palsu yang diberikan pihak pemaju yang turut mempergunakan Umno untuk mempengaruhi penduduk berkenaan. Bahkan mereka tidak diberikan bayaran penuh seperti yang dijanjikan sebanyak RM1 juta.


Akibatnya, impian mereka bergelar jutawan bukan sahaja berkecai, malah mereka kehilangan tanah kebun kelapa sawit yang memberikan mereka sumber pendapatan dan rezeki selama ini. Apa yang tinggal kepada peneroka itu kini hanyalah tapak rumah sebesar sekangkang kera.


Barangkali ramai yang tidak mengetahui atau terlupa bahawa Muhammad Taib merupakan salah seorang dari enam ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan dan tali barut yang terlibat secara langsung dalam menipu dan merampas hak-hak peneroka Felda itu.


Ketua kampung Sungai Buaya, Saidin Busu antara 34 orang peneroka Felda yang memfailkan kes itu ke mahkamah pada 2002 selepas menyedari diri mereka ditipu dengan perjanjian yang mengelirukan dan berat sebelah.


"Ketika itu Muhammad Taib, orang kepercayaan penduduk di sini sebagai Menteri Besar, apa yang dia cakap penduduk lebih faham. Itulah bermulanya titik hitam Felda Sungai Buaya.


"Muhammad Taib dia terlibat. Sebab itu saya nak cakap hari ini, dalam Sinar (Harian) tak keluar. Muhammad Taib adalah antara enam ahli lembaga pengarah dalam syarikat Murna jaya pada 1994. Setiap perjanjian dalam lembaga pengarah ditandatangani beliau. Dalam mahkamah pun perkara itu disebut," kata Saidin.


"Inilah penyamun-penyamun yang merompak tanah kami," celah Jamadi Mohammad, pengerusi jawatankusa yang mewakili 34 penduduk yang membawa kes itu ke mahkamah.


Menurut Jamadi, setelah tamat perjanjian asal pada 1999 iaitu selepas 48 bulan tarikh perjanjian, baki keseluruhan masih tak dijelaskan. Kemudian projek tersebut ditunda dengan satu lagi janji oleh syarikat sehingga 2004.


"Hanya satu janji pada tahun 2000 ditunai, itupun tak menepati janji apabila pihak ketiga membayar kepada pihak kedua (Murna Jaya) RM112,000. Kemudian sampai kepada kita RM41,000. Ke mana lagi RM72,000. Sedangkan pihak ketiga sudah bayar. Ini ada penyata yang dibawa ke mahkamah," kata Jamadi.


Manakala pada 2005 ujarnya, mereka dibayar hanya RM1,000 bagi menyambut persiapan bulan Ramadhan dan Hari Raya Puasa pada masa itu. Selepas itu mereka tidak lagi mendapat sebarang bayaran sehingga hari ini.


"Bila kita jumpa peguam, peguam bertanya, kenapalah you sign. Kita ni manalah tahu. Macam pakcik ni umur 65 sekolah pun sekolah rendah. Dari segi perundangan tak tahu. oleh kerana dakyah dan dipengaruh, siapa yang tak nak senang dengan janji-janji manis dia orang ini.


Sepanjang perjuangan mempertahankan hak mereka, Saidin berkata, mereka mengharungi pelbagai cemuhan dari sebahagian peneroka yang dipengaruhi oleh janji-janji berkenaan sehingga dituduh sebagai pengkhianat yang mahu menggagalkan perjanjian itu.


"Sehinggakan kalau kenduri-kendara yang 34 orang ini, kalau tak ada saudara mara yang datang, tak ada orang pun. Pengerusi kita sebelum Jamadi, arwah Rahim Johari meninggal tak ada yang hadir melainkan ahli persatuan.


"Kami dipulaukan, disisihkan dalam masyarakat. Kami ni dianggap pengkhianat untuk menggagalkan pembangunan di kawasan ini. Selepas 2008, saya salah seorang yang bawa kes ini ke mahakamah, dilantik sebagai ketua kampung dan pengerusi JKKK. Baru kita mendapat program menerangkan cerita sebenar.


"Sekarang baru ada peneroka yang sedar, tetapi masih ada konco-konco yang senang dibayar, masih lagi dikedai-kedai menyatakan kamilah yang salah. Bagi kami jalan penyelesaiannya adalah bayar hak kami. Kesian kepada penduduk. Daripada 363 peneroka tinggal 66 orang sahaja kerana yang lainnya telah meninggal dunia.," ujar beliau lagi.


"Allah Taala yang Maha Kaya mengetahui, mana yang betul mana yang tak betul. Sekarang mereka sedar" ujar Jamadi pula.


Felda Sungai Buaya, mimpi ngeri buat Umno di Hulu Selangor

Tuesday, 20 April 2010 3:29 PM Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pengundiaanya akan berlangsung pada 25 April ini pastinya merupakan mimpi ngeri buat Umno dan Barisan Nasional di Hulu Selangor terutamanya bagi pengundi Melayu bagi Felda di situ.


Ini kerana Syarikat Murna Jaya Development Berhad, yang juga proksi Umno didakwa berhutang ratusan ribu ringgit terhadap peneroka Felda di Kampung sungai Buaya, di Hulu Selangor.


Hutang terhadap 363 peneroka itu sejak 16 tahun lalu sehingga ke hari ini gagal dilangsaikan walaupun perjanjian asal itu syarikat berkenaan mesti melunaskan hutang mereka sebelum tahun 1998 lagi.


Kejadian itu mula berlaku apabila satu perjanjian antara 363 peneroka Felda di Kampung Sungai Buaya terbabit dengan Syarikat Murna Jaya Development Berhad ditandatangani pada 23 Disember 1994.


Perjanjian itu yang disediakan sendiri oleh pihak pemaju didakwa berat sebelah apabila anak-anak penoraka itu dihalang menyemak dan membaca syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian itu.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) di Felda Kampung Sungai Buaya, Saidin Busu, 42, berkata, akibatnya perjanjian itu bukan sahaja zalim tetapi menindas peneroka apabila nilai tanah yang mengikut perjanjian asal sepatutnya dijual RM5.20 untuk sekaki persegi tetapi dalam perjanjian yang tertulis hanya RM2.80 iaitu setengah daripada perjanjian asal.


Menurutnya, pihak pemaju pula mendesak agar peneroka yang hampir keseluruhanya warga emas menandatangani sahaja perjanjian itu.


“Pihak pemaju bersikap samseng apabila mengarahkan peneroka ketika itu menandatangani sahaja perjanjian itu secara serentak dalam masa yang singkat selain menghalang anak-anak peneroka daripada membacanya apatah lagi menyemak isi kandungan itu,” katanya kepada erapakatan.com semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Saidin memberitahu, perjanjian itu menyebut Syarikat Murna Jaya Development Berhad perlu melunaskan hutang itu dalam tempoh 36 bulan atau sebelum tahun 1998.

Sehinggalah pada tahun 1999, syarikat itu tetap gagal melunaskan perjanjian itu yang membawa kepada perjanjian kedua.

“Dalam perjanjian ini, syarikat itu mendakwa akan melunaskan hutang mereka yang berbaki ratusan ringgit dalam tempoh 24 bulan atau sebelum tahun 2003.

Namun, kami hairan dari tahun 1999 sehinggalah ke hari ini, kami langsung tidak pernah ditunjukkan perjanjian itu dalam bentuk hitam putih.

Mana perjanjian itu, kami mahu lihat, kalau betul adalah… kerana sehingga tahun 2003 syarikat itu tetap gagal melunaskan hutang mereka yang mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya kesal.

Saidin menjelaskan, setiap peneroka mengikut perjanjian pertama pada Disember 1994 mesti dibayar RM1 juta seorang dan pembayaran pendahuluan oleh syarikat itu hanya dilunaskan RM10,000 ketika itu.

“Bayaran itupun mereka bayar secara ansuran dan sehingga tahun 2003, kami hanya menerima RM 270,000 seorang bagi setiap peneroka dan ada di antara kami menerima kurang daripada jumlah itu.

Tetapi yang pasti, syarikat masih berhutang hampir RM800,000 bagi setiap peneroka dalam perkampungan Felda Kampung Sungai ini,’ katanya.

Tuntut Janji

Friday, April 9, 2010

KEZALIMAN FELDA

Felda yang dulunya adalah satu projek perladangan untuk menjana ekonomi rakyat dibawah program DEB kini diuruskan oleh Syarikat milik Kerajaan iaitu FELDA Holdings yang memiliki lebih 60 buah anak syarikat yang beroperasi di dalam dan luar negara. Pada tahun 2008 jumlah hasil perniagaannya mencecah jumlah RM15.4 bilion.


Walaupun pendapatan Felda Holding begitu besar, namun peneroka menjadi mangsa bila mana Peneroka tidak dibenarkan menanam semula sendiri kelapa sawit. Mereka diberikan hutang untuk membayar semua kerja ini yang diswastakan kepada anak syarikat Felda Holding iaitu Technoplant.



Selain itu, Felda melakukan pelbagai strategi bagi memaksa peneroka menyerahkan tanah mereka. Felda Plantations menawarkan mereka untuk menjadi pemegang saham dengan kadar bayaran pulangan bulanan adalah RM 1,500-RM 2,100 tanpa perlu bersusah payah bekerja diladang seperti dahulu. Namun
mereka yang bersetuju dipaksa membuat pinjaman kos menanam semula kebun dan membina rumah baru. Jumlah hutang ini sekitar RM70,000-RM 90,000 sedangkan mereka yang menolak masih mampu hidup tanpa hutang dengan hasil sekitar RM 4,000-RM 7,000 sebulan.


Itu adalah sebahagian kecil fakta yang menjadi rintihan peneroka Felda. Namun, usaha membongkar lebih banyak penindas semakin cuba dihalang.
Umno juga dilihat mempergunakan sentimen Melayu bagi menghasut peneroka menolak Anak, walhal Pengerusinya sanggup ke penjara untuk perjuangkan masa depan mereka.


PAS menyokong perjuangan Anak dibebaskan dan mahu hak peneroka Felda untuk bersuara tidak disekat. Peneroka Felda bukan banduan, mereka adalah rakyat yang merdeka dan berhak untuk bertemu sesiapa yang mereka suka. Jadi tidak ada salahnya jika Mazlan ingin bertemu mereka. Dan sebagai Pengerusi Anak, beliau berhak untuk meninjau ahli-ahlinya disemua kawasan kerana hak untuk berpersatuan dijamin oleh perlembagaan negara ini.

Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat



Tolak BN, protes layanan tidak adil Felda
Dzulfikar Mashoor

HULU SELANGOR, 23 April: Para pengundi di kawasan Felda dalam Parlimen Hulu Selangor perlu menggunakan kuasa mengundi untuk memprotes layanan tidak adil kerajaan Pusat dan Felda kepada mereka.

"Apa yang penting bagi kita adalah Hulu Selangor mesti menjadi referandum peneroka Felda tolak kezaliman Najib dan (pengurusan) Felda Holding yang selama ini tidak pernah endah dengan makan minum yang sepatutnya dinikmati oleh kita dan tanah yang sepatutnya menjadi milik kita," ujar Badrul Hisham Shaharin (gambar), Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Beliau juga mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta jentera Umno supaya tidak menjadikan konsortium Felda Holdings Bhd sebagai perkakas politik kempen demi meraih sokongan pengundi di beberapa Felda, di sini.


Badrul Hisham berkata, tanpa sumbangan peneroka Felda generasi pertama, kerajaan dan Felda yang ada hari ini tidak mungkin menikmati hasil kekayaan bumi Malaysia.

"Sebelum Malaysia berjumpa minyak, semaju mana, sehebat mana Malaysia, Malaysia ini dibina oleh keringat masyarakat Felda sehingga menjadikan Malaysia antara pengeluar getah ulung di negara dan antarabangsa.

"Negara ini asasnya dibina dari hasil getah dan kelapa sawit, kalau Najib dan Felda mahu bercakap dengan para peneroka Felda, tolong hormat maruah mak bapak (generasi pertama) kita," jelas beliau di Felda Gedangsa, Dun Hulu Bernam, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau yang juga ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) PKR menegaskan bahawa pihak pengurusan Felda tidak seharusnya mengabaikan peranan para peneroka di seluruh negara.

"Hari ini, Felda jauh meninggalkan para peneroka, Felda sudah menjadi punca dan lubuk kekayaan yang menjadi cita-cita seluruh pemimpin Umno yang tidak ada maruah ini," ujarnya lagi di depan lebih 300 para peneroka terbabit.

"Berbilion ringgit yang diperdagangkan oleh Felda dalam industri perhotelan, termasuk di Arab Saudi, tetapi para peneroka yang bersabung nyawa di hutan belantara sejak tiga dekad lalu masih dibayar upah serendah gaji yang mereka terima dahulu, dan terus hidup susah di bawah ini."


Tambahnya lagi, peneroka Felda dahulu diajak menyertai pengurusan Felda untuk membuat nilai harga sawit dan buat polisis-polisi demi memelihara kepentingan peneroka sendiri, hari ini semua itu dimansuhkan kerana Felda sudah dijadikan lubuk kakayaan mereka yang tidak bertanggungjawab," tambahnya.

Disebabkan itu, para peneroka tidak seharusnya menyuarakan rasa kecewa apabila Najib serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta peneroka Felda berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi memberi sagu hati kepada para peneroka.

Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, Najib, Muhyiddin dan kerajaan sepatutnya berterima kasih kepada para peneroka Felda kerana pegangan saham mereka secara holistiknya adalah 51 peratus, menguasai Felda Holdings Bhd.




MAMPUKAH ZAID IBRAHIM PERJUANGKAN MASYARAKAT FELDA?


Saturday, 24 April 2010 3:03 AM Oleh Masdar Wahid (Emel penulis ini)

KUALA LUMPUR : Itulah persoalan yang dilontarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dihadapan kira-kira 700 pendengar di Padang Awam, Batang Kali, Hulu Selangor malam tadi.


Khalid berkata, warga Felda di Hulu Selangor perlu memilih calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim agar masalah yang mereka hadapi sejak 16 tahun lalu segera diselesaikan.


Menurutnya, umum mengetahui bahawa Zaid merupakan seorang peguam dan pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan berkaitan undang-undang di negara ini.


Sehubungan itu, katanya, Zaid sudah pastinya mampu memperjuangkan hak sebenar peneroka Felda di Hulu Selangor, termasuklah masalah yang membelenggu Felda Sungai Buaya sejak tahun 1994 lagi.


“Kita memerlukan seorang Ahli Parlimen yang arif perihal perundangan agar kuat dan mampu memperjuangkan hak peneroka Felda di Hulu Selangor, seterusnya menyuarakan masalah yang dihadapi peneroka-peneroka itu di parlimen,” katanya yang disambut tepukan gemuruh oleh hadirin malam tadi.


Khalid yang berucap dengan penuh semangat malam tadi turut mengkritik lakonan Presiden Umno, Najib Razak yang merasuah peneroka Felda RM50,000 pada petang Jumaat lalu yang disifatkannya sebagai penipuan semata-mata.


“Saya telah memberitahu kepada peneroka Felda Sungai Buaya bahawa jika Najib memberikan wang, ambil tetapi jangan sesekali menandatangani apa-apa perjanjian agar pisang tidak berbuah dua kali.


Peneroka harus ingat, hutang syarikat itu yang juga kroni Umno berhutang kira-kira RM 800,000 kepada setiap keluarga peneroka seramai 363 orang dan pemberian wang itu adalah hak anda dan anda berhak menerimanya namun jangan sesekali terlena dengan lakonan Najib,” katanya.


Difahamkan, kedatangan Najib ke Felda Sungai Buaya petang semalam adalah yang pertama sepanjang beliau menjadi ahli Umno.


Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Buaya, Saidin Busu berkata, amat jarang menteri melawat mereka sejak masalah itu berlarutan di era bekas Menteri Besar Umno, Muhammad Taib, termasuklah Najib sendiri.


Dalam lawatan itu, Najib memberikan tunai RM 1,000 kepada 100 peneroka di kawasan itu dengan baki RM49,000 wang itu kononnya akan diberikan dalam bentuk bank draf selepas hari pengundian, itupun jika BN menang!.


Saidin menjelaskan, jumlah sebenar yang layak menerima wang itu bukan 100 orang tetapi 363 peneroka seperti mana perjanjian asal pada tahun 1994 yang disediakan sendiri oleh syarikat Murna Jaya, sebuah syarikat kroni Umno.


“Hutang sebenar syarikat Murna Jaya kepada kami ialah kira-kira RM800,000 seorang dan bukannya RM50,000,” katanya sambil menegaskan bahawa belum tentu janji Najib itu ditunaikan seperti mana lakonan para pemimpin BN sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, tinjauan erapakatan.com mendapati syarikat asal Murna Jaya di kawasan itu kini merupakan markas BN.


Sunday, April 4, 2010

NAJIB UGUT PENEROKA FELDA SUNGAI TENGI, KUALA KUBU

http://idrisahmad.wordpress.com
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengunakan pentas Felda untuk mengugut para peneroka ketika melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Sabtu lepas.


Beliau yang juga Pengerusi BN mengingatkan para peneroka di Hulu Selangor bahawa
BN hanya akan memberikan bantuan dan memacu kepada perubahan jika mereka memberikan kemenangan besar kepada BN dalam Pilihanraya kecil parlimen disitu.


Ya! bantuan hanya diberikan jika BN menang. Beliau lupa bahawa
BN telah menang besar di kesemua tiga DUN dalam Parlimen Hulu Selangor pada 2008, tapi tak ada pun bantuan dan sumbangan yang diberikan kepada penduduk Hulu Selangor yang memberikan mereka kemenangan di ketiga-tiga kawasan DUN parlimen Hulu Selangor!


Aduhai kesiannya peneroka-peneroka Felda. Peneroka Felda sentiasa menjadi sasaran Najib, sedangkan hakikatnya beliau hanya menumpang kejayaan Felda yang diwariskan oleh Ayahnya, Tun Razak.


Najib memberi peringatan serius kepada warga Felda di Hulu Selangor bahawa 25 haribulan (hari pengundian) mereka kena undi BN. Hanya dengan memberikan bantuan dan kepercayaan kepada BN barulah Yayasan Kelana Ehsan akan diarahkan untuk membantu mereka.

PAS juga mengingatkan para peneroka agar tidak lupa
kes 25,000 peneroka, yang ditindas oleh Felda. sehingga kini Felda masih gagal memulangkan RM425,000.00 (Ringgit Malaysia 425 juta) duit peneroka terbabit yang disimpan dalam tabung tanam semula, walaupun mahkamah telah keluarkan arahan. PAS mahu peneroka bertanya kepada Felda, ke manakah duit itu telah pergi hingga mereka tidak mampu mengembalikannya kepada peneroka yang menuntutnya?

PAS juga mengingatkan peneroka Felda agar tidak terpedaya dengan projek perumahan RM32 juta yang turut diumumkan Najib. Projek yang terletak di kawasan Felda Soeharto seluas 14 hektar yang melibatkan pembinaan sebanyak 250 unit rumah bakal dijual kepada para peneroka dengan harga RM42,000 bagi rumah kos rendah dan RM75,000 bagi rumah kos sederhana rendah..


Jika wang tabung pun boleh lesap, inikan pula projek perumahan yang baru dipecah tanah. Peneroka juga jangan lupa bahawa banyak lagi projek perumahan yang masih terbengkalai diseluruh negara, dan perkara yang sama tidak mustahil akan berlaku, walaupun ketika itu peneroka sudah dikehendaki membayar duit pinjaman Bank.
Di mana Felda mahu cari duit RM 32 juta untuk selesaikan projek berkenaan sedangkan hutang RM 425 juta belum mereka selesaikan?


PAS yakin, peneroka yang bijak akan menolak BN. Fikir-fikirkanlah sebelum anda menyesal dikemudian hari.


PAS mengingatkan Perdana Menteri agar sedar kedudukannya dan tidak mengunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk turun berkempen di Hulu Selangor.


Gaji beliau semasa turun memecah tanah pada sabtu lepas di Felda Soeharto adalah dibayar dari duit rakyat bukan duit BN. Beliau perlu hormati tarikh sebenar dan tidak berkempen mengunakan jentera Kerajaan sebelum hari penamaan calon. Kalau mahu berkempen gunalah jentera BN sepenuhnya, jika tidak rakyat dengan jelas sudah melihat bahawa jentera BN begitu lemah sehingga terdesak meminjam jentera Kerajaan yang digajikan dengan duit rakyat.

Thursday, April 1, 2010

ISU MAZLAN VS FELDA



“Saya tetap akan dedahkan 15 isu penyelewengan Felda walau ditahan ISA” - Mazlan Aliman

Tuesday, 23 March 2010 4:50 PM Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR: Dia kemungkinan berdepan dengan penahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Isa) berikutan pendedahan ke atas 15 isu penyelewengan Felda, tetapi pendiriannya dalam hal ini tetap tidak berganjak.



Ketika mengulas hal penahanannya sebelum ini, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, berkata
penyelewengan itu beliau terima hasil aduan anak-anak Felda yang tertindas sebelum ini.


"Saya menerima banyak maklumat yang diberikan ramai pihak berhubung bagaimana penyelewengan berlaku. Saya ada 15 isu yang akan saya dedahkan satu persatu.


"Saya akan dedahkan walaupun saya mendapat maklumat bahawa saya dicadangkan untuk ditahan dibawah ISA," katanya dalam suatu acara anjuran Pas kawasan di Mengkarak, baru-baru ini.



Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, penahanannya yang terbaru ini bertujuan menakutkan beliau dan masyarakat peneroka untuk menghadiri acara yang dianjurkan sekali gus berusaha menutup kepincangan pengurusan Felda dan kerajaan (BN).


Mengulas hal itu, Mazlan menambah, terdapat banyak perkhabaran sebelum ini yang menunjukkan kerajaan akan melakukan tindakan agresif ke atasnya.



"Penahanan saya adalah untuk menakutkan masyarakat Felda untuk menjemput saya berceramah. Mereka berusaha menutup kepincangan yang dilakukan dalam pengurusan Felda termasuk penindasan terhadap masyarakat peneroka.


Bagaimanapun, katanya, selepas peristiwa yang berlaku di Felda Lembah Klau baru-baru ini, beliau menerima banyak sokongan masyarakat peneroka dan generasi kedua Felda yang mahu penjelasan diberikan agar kehidupan mereka terbela.


"
Selepas saya ditangkap, ramai peneroka khasnya generasi keduanya tak puas hati dan marahkan Felda. Malah, selepas itu makin ramai anak Felda yang mahu menyertai persatuannya kerana tahu inilah saja pentas yang boleh diharapkan bagi membela masa depan mereka," katanya.

Nota: Era Pakatan boleh dihubungi melalui 03-61850744 / 0745 (Tel.), 03-61850744 (Faks.), atau menerusi editor@erapakatan.com, editorpakatan@gmail.com (Mel-E).






KUALA LUMPUR, 19 Mac: Ahli Parlimen (MP) Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said yang mendakwa seorang pemimpin PAS Pusat menghasut generasi kedua Felda agar membenci kerajaan seolah-olah memperlekeh kebolehan generasi itu.


Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali yang menyelar kenyataan itu berkata, tuduhan Ismail bahawa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman yang juga Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) meracuni dan mempengaruhi anak-anak peneroka Felda agar membenci kerajaan melalui ceramah-ceramahnya seolah-olah merendah-rendahkan tahap pemikiran generasi kedua Felda.


"
Wakil Kuala Krau merendahkan kebolehan generasi kedua Felda untuk menggarap isu-isu terkini dan untuk memastikan kebajikan mereka terbela," katanya


PENYELEWENGAN DALAM FELDA

"Tanam sendiri umpamanya, wang caruman peneroka di dalam tabung tanam semula RM17,000. Apa yang ditimbulkan masalah ini ialah halangan bagi yang sedia dan mendapatkan beberapa kemudahan sendiri dan juga apabila ada usaha menanam persendirian mereka dibayar hanya RM7,000 dari wang yang mereka carum di tabung tanam semula.


"Hantaran buah sawit pun begitu juga.
Peneroka dikenakan tahanan sehingga 20% dari pendapatan dari setiap hantaran. Ini terlalu tinggi. Mana dia menteri berkenaan, mana dia Pengerusi Felda?


"Dia bercakap bagi pihak korporat atau bagi pihak peneroka? Kalau bagi pihak peneroka dia patut sekurang kurangnya dengar.
Adakah adil potongan itu 20% dalam keadaan keuntungan berbilion-bilion ringgit oleh syarikat Felda," katanya.


MB Selangor akan buat pengumuman penting isu generasi kedua Felda
Harakahdaily

HULU SELANGOR, 19 April: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan membuat pengumuman penting berkaitan dengan hak generasi kedua Felda dalam masa terdekat ini.

Menurut AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, beliau dimaklumkan, Khalid akan membuat
pengumuman penting tentang masa depan mereka tidak lama lagi.

Mazlan berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis ceramah Pakatan Rakyat di Felda Sungai Tengi malam tadi.

Menurut Mazlan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengubah hasrat bapanya, Tun Razak, yang menubuhkan Felda untuk menjadi agen pengurusan untuk mengeluarkan peneroka Felda dari kemiskinan.

Namun, anaknya datang meruntuhkan dasar ini apabila menjadi Felda menjadi badan perniagaan sehingga dikatakan paling kaya selepas Petronas.

"
Yang Tun Razak mahukan bukan untuk mengkayakan Felda. Tetapi untuk mengeluarkan peneroka-peneroka itu dari belenggu kemiskinan dan menjadikan peneroka-peneroka itu kaya. Tetapi anaknya Najib berusaha menjadikan Felda kaya bukannya peneroka. Apa yang peneroka dapat dari kayanya Felda. Yang perlu dikayakan adalah peneroka bukannya Felda," kata beliau.



Beliau memberitahu, menjadi
salah satu perjuangan Anak adalah memansuhkan Felda Plantation dan menyerahkan tanah mereka kepada anak-anak peneroka yang kini menjadi generasi kedua Felda selepas ibu dan bapa mereka sudah tua ataupun sudah meninggal dunia.


"Antaranya
kita cadangkan agar 367,000 tanah Felda Plantation ini dibahagikan kepada anak-anak Felda.


"Bayangkan 79,000 anak peneroka akan mendapat manafaat darinya dengan mendapat 10 hektar setiap seorang," kata Mazlan.


Mazlan memberikan contoh Ladang Sungai Tengi Selatan yang kini dimiliki oleh Felda Plantation adalah antara yang sepatutnya dibuat demikian.


75,000 Generasi Kedua Felda bakal dapat 10 ekar tanah
Buletinonline

HULU SELANGOR, 19 April: Nasib Generasi Kedua Felda akan dibela sepenuhnya sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat, menang dalam pilihanraya umum ke 13 dan mentadbir Putrajaya.

Seramai 79,000 orang generasi kedua Felda akan diberikan hak tanah 10 ekar setiap seorang dengan rancangan pengambilan semula tanah-tanah milik Felda Plantation oleh kerajaan negeri.

"Saya nak sebut malam ini, antara perjuangan anak ialah, menuntut kalau Pakatan Rakyat menang, kita minta supaya Felda Plantation yang menjadi anak syarikat Felda dimansuhkan supaya diberi anak-anak peneroka,"kata Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar).


Beliau berkata demikian kerana penubuhan Felda Plantation, yang menjalankan perniagaan, adalah bercanggah dengan dasar yang disebut oleh Bekas Perdana Menteri Tun Abul Razak Hussein pada 27 April, 1960.


Katanya, Tun Razak menegaskan
Felda adalah sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk mengeluarkan orang-orang Melayu dari kancah kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.


Oleh itu katanya, menurut dasar yang dibentangkan oleh Tun Razak Felda hanya bertindak sebagai agen pengurusan semata, dan ia bukan satu badan perniagaan.


”Saya dah sebut dengan kawan-kawan yang memerintah negeri Selangor, termasuk baru-baru ini saya sudah berbincang dengan Ustaz Azizan Razak Menteri Besar Kedah.


"Kalau ini sudah jelas terma-termanya, kenapa tidak kerajaan negeri mengambil semula ladang-ladang Felda ini yang berjumlah 367,000 hektar,”jelasnya ketika berucap di Medan Niaga Sungai Tengi, di sini, semalam.


Kemudian, katanya, tanah-tanah tersebut akan diberikan kepada anak-anak peneroka, yang akan mendapat keluasan 10 ekar setiap seorang.


Felda Sungai Tengi terbahagi kepada dua iaitu Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan. Ketika peneroka Sungai Tengi boleh memiliki tanah yang mereka teroka, peneroka Sungai Tengi Selatan tidak kerana ia milik Felda Plantation. Mereka kekal sebagai pekerja Felda....--Buletinonline.net





KUALA LUMPUR, 24 Feb: Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengadakan
siasatan awam terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana didakwa melakukan penindasan berterusan kepada peneroka.


Cadangan itu dikemukakan oleh Pengerusi Anak, Mazlan Aliman dalam dalam satu pertemuan dan penyerahan memorandum kepada Suhakam di pejabat suruhanjaya berkenaan, petang tadi.


"Untuk lebih adil, saya minta satu public inquiry (siasatan awam) dibuat untuk mendengar sendiri aduan peneroka dan perkara ini dipanjangkan untuk tindakan yang lebih lanjut," katanya.


Mazlan mengetuai kira-kira 200 peneroka tanah rancangan Felda dari Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor untuk menyerahkan memorandum kepada Suhakam berkenaan beberapa perlanggaran hak asasi dan ketidakadilan pengerusan Felda ke atas peneroka setelah lebih 50 tahun ia diwujudkan.

Memorandum tersebut mengandungi empat aduan daripada peneroka termasuk mengenai
Akta Kawasan Tanah Berkelompok (Group Settlement Act 1960) yang didakwa digunakan oleh kerajaan Umno/BN untuk mengongkong kebebasan para peneroka.


Anak juga membuat aduan mengenai
wang tanam semula yang dicarum peneroka yang sehingga ke hari ini tidak diserahkan kepada peneroka. Selain itu, aduan dibuat juga berkaitan isu ladang Felda apabila pihak pengurusan Felda bertindak menindas peneroka selain mengenai kegagalan peneroka menguruskan sendiri kebun mereka walaupun telah melangsaikan hutang kepada Felda.


Aduan itu didengar dua Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N. Subramaniam dan Datuk Khalid Ibrahim di tingkat 29 Bangunan Suhakam, sebelum menerima memorandum daripada Mazlan.


Mazlan dalam aduannya kepada Suhakam juga berkata,
semua jawatankuasa yang ditubuhkan pengusan Felda tidak berpihak kepada golongan peneroka yang tidak bersetuju dengan perjanjian yang ditetapkan Felda itu menyebabkan peneroka tida tempat untuk mengadu masalah mereka.


"
Sebutlah jawatankuasa apa pun di bawah Felda, semuanya tidak berpihak kepada peneroka. Kewujudan Gabungan Persatuan Wanita (GPW) di tanah-tanah rancangan menjadi mata dan telinga kepada Felda," katanya. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah peguam yang mewakili Anak iaitu Ahmad Nizam Afendi dan Suhaimi Said.


Ahmad Nizam mendakwa, perjanjian yang dibuat di antara Felda dan peneroka adalah berat sebelah dan keterlaluan. "
Perjanjian itu tidak ada tarikh tamat. Kalau ikut perjanjian tersebut, peneroka akan terikat dengan Felda dan bila sebut peneroka, ada terma yang mengikat waris, anak, cucu dan sebagainya akan terikat juga dengan Felda," katanya.


Khalid dalam responsnya dalam pertemuan itu mengakui tidak pernah mendengar sebarang aduan buruk berkaitan Felda dan
tidak menyangka terdapat banyak masalah yang membelenggu para peneroka di seluruh negara.


Pengerusi Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan Suhakam itu berjanji akan membincangkan aduan itu ke mesyuarat suruhanjaya pada 8 Mac depan dan akan turut mendapatkan penjelasan daripada Felda berhubung aduan itu.


Beliau juga berkata, pihaknya akan mengkaji keperluan untuk mengadakan siasatan awam seperti yang dicadangkan Anak. "Kami menerima memorandum yangakan diserahkan pada hari ini adn akan mengkaji seluruh aduan yang dibuat sebelum membuat keputusan samaada akan mengadakan siasatan awam atau tidak.
Ini bukan lagi public inquiry, tapi national inquiry kerana melibatkan seluruh Malaysia," ujarnya.


Dalam pada itu, bercakap kepada media sebelum pertemuan dengan Suhakam, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub yang juga Naib Presiden PAS berjanji akan terus membawa isu penindasan peneroka dalam perbahasan Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 15 Mac depan.


"Kami di pihak Ahli Parlimen tidak pernah putus asa berdebat mengenai isu peneroka di Dewan Rakyat. Saya berjanji di atas nama ahli Parlimen bahawa kita akan tetap membahaskan mengenai
akta GSA ini dan ia merupakan satu topik yang penting kerana GSA cukup menindas dan mencengkam peneroka," katanya.


Nada yang sama turut disuarakan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang mahukan nasib golongan peneroka dibela. "Kita akui sumbangan Felda kepada perkembangan ekonomi negara. Tapi
peneroka masih menghadapi banyak masalah di bawah Felda. Sebab itu kita setuju bersama gabungan ini untuk mengambil isu ini secara serius dan mengkaji dasar sekarang supaya kita benar-benar menghargai sumbangan para peneroka," katanya.


Peguam Anak, Suhaimi pula berkata, pihaknya bersedia untuk mengendalikan semua kes melibatkan tuntutan peneroka tanpa sebarang bayaran. "Kami telah barjanji dengan anak bahawa kami akan mengambil semua kes melibatkan generasi felda. Di konvensyen peneroka baru-baru ini pun kami berjanji akan membela nasib peneroka tanpa mengenakan bayaran," katanya.


PRK Hulu S’ngor : ‘Tunaikan janji kamu sebelum penamaan calon’ - Bekas Peneroka Felda

Saturday, 03 April 2010 11:40 AM Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Seramai 67 bekas Peneroka Felda Sungai Buaya, dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor bangkit menuntut hak mereka yang dinafikan sejak 13 tahun lalu oleh Felda dan kerajaan BN di era Khir Toyo.

Peneroka tersebut sebelum ini dijanjikan RM1 juta menerusi sebuah projek pembangunan di kawasan itu.


Arifin Shamsudin, 74, salah seorang dari peneroka itu memberitahu, selama ini mereka tertipu dengan janji manis yang ditabur kerajaan negeri di era pemerintahan BN.


Paling malang katanya, mereka yang datang menawarkan habuan itu adalah daripada kalangan Melayu sendiri yang kononnya membela nasib Melayu tetapi kini lepas tangan dan membiarkan peneroka terus tertindas.

Melayu tipu Melayu. Melayu guna nama nama UMNO untuk tipu Melayu!. UMNO guna nama Melayu untuk tipu Melayu. Akhirnya Melayu tertipu dengan orang-orang Melayu yang menggunakan nama UMNo dan isu-isu orang Melayu!


“Perjanjian mereka semua tak betul. Saya dijanjikan RM1 juta daripada penjualan tanah seluas 8 ekar.


“Bayaran pertama yang sepatutnya dijelaskan dalam surat perjanjian adalah RM100,000 tetapi itu pun mereka tipu dan saya hanya dibayar separuh sercara beransur-ansur,” katanya


Mengulas isu sama, waris peneroka, Kamaruddin Jantan, 62, pula berkata, isu tersebut kerap kali bangkitkan oleh mereka terutamanya selepas menyedari wujudnya penipuan.


Menurut Kamaruddin, mereka mahu jalan penyelesaian segera dan bukan hanya dengan berjanji sahaja sepertimana kebiasaan yang berlaku dalam setiap kali pilihanraya tetapi sebaik calon itu menang, mereka pun melupakan perkara yang pernah mereka janjikan itu, walaupun memenangi kerajaan persekutuan.


“Sekarang kembalinya perebutan kuasa di tampuk pemerintahan Parlimen Hulu Selangor, jadi apa yang kami mahukan hanyalah penyelesaian segera masalah kami daripada calon yang akan dipilih kelak.


“Bukan janji yang kami mahukan, tetapi kesahihan penyelesaian sebelum pilihan raya kecil (PRK) bermula. Setidak-tidaknya sebelum berakhirnya pilihanraya"


“Kalau janji selepas plihan raya, itu sudah banyak kali kami dengar dan itu semuanya tipu dimana janji hanya tinggal janji, sebaliknya masalah kami tetap menjadi bebanan buat kami anak-anak peneroka,” katanya.


Begi Isteri kepada salah seorang bekas peneroka yang telah meninggal dunia, Siti Mariam Ahmad, 68, pula berkata, beliau dinafikan hak sebagai jutawan selepas suaminya meninggal dunia akibat sikap cuai pihak yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap mereka.


Menurutnya, kini dia terpaksa berniaga sendiri bagi menyara kehidupannya bersama dua anaknya.


“Saya berniaga kecil-kecilan dan hanya memperoleh pendapatan kurang RM400 sebulan dan ia tidak menentu kerana bergantung kepada tahap kesihatan saya.


“Saya menghidap sakit jantung dan memerlukan rawatan rutin di Hospital Selayang bersama seorang anak saya yang menghidap tekanan mental.


“Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga terpaksa saya minta bagi menampung kos rawatan bulanan kami berdua,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Sungai Buaya Barat, Akhir Diran, 58, yang juga generasi kedua felda melahirkan kekesalan dengan sikap pemimpin cuai itu yang kesan akhirnya adalah ditanggung oleh penduduk kampung berkenaan.


Menurutnya, di Sungai Buaya terdapat kira-kira 2,600 pengundi yang antara menjadi penentu penting kemenangan mana-mana calon dalam PRK kali ini.


Akhir menjelaskan, mereka sepakat mahu masalah itu diselesaikan sebelum penamaan calon bermula.


Calon dan pemimpin sudah bersilih ganti tetapi masalah kami masih belum diselesaikan. Pelbagai janji ditabur bagi meyakinkan kami memilih mereka sebagai wakil rakyat namun kami terus tertindas.


“Justeru, pemilihan calon kali ini diharap dapat menyelesaikan masalah yang sudah bertahun membebankam kami di sini.


Tuntutan kami supaya masalah ini diselesaikan sebelum pilihan raya dan bukannya janji selepas pilihan raya,” katanya.


PAKATAN AKAN MEMBANTU Peneroka Felda

Saturday,

Zulkifli Sulong
HULU SELANGOR, 24 April: Menjelang sehari hari mengundi, Pakatan Rakyat mendapat sokongan moral yang kuat apabila masyarakat Felda yang selama ini menjadi penyokong kuat Umno mula beralih arah kepada mereka.


Di Felda Sungai Tengi malam tadi, mereka mencipta sejarah apabila ribuan mereka turun menyertai majlis ceramah yang diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Kita mahu memerdekakan masyarakat Felda," kata Anwar Ibrahim yang mendapat tepukan gemuruh kira-kira 5,000 yang turun ke medan Desa Jaya, Felda Sungai Tengi.


Anwar dan Muhamad Sabu memberikan ceramah di majlis Himpunan Peneroka Felda Kebangsaan ke 2 yang dianjurkan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).


100 meter dari itu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan memberikan ceramah kepada kira-kira 200 orang pendengar. 100 meter dari situ juga ada pertandingan futsal untuk pemuda di Felda itu.


Di majlis ceramah malam tadi, Anwar melancarkan kempen 'Jom turun ke ladang' yang dibuat oleh Anak untuk menarik jenerasi kedua Felda agar mengusahakan sendiri ladang keluarga mereka.


"Peneroka adalah tuan bukannya kuli sebagaimana yang dibuat oleh Felda kepada tuan-puan sekarang," kata Anwar merujuk kepada pelbagai peraturan dan sekatan yang dikenakan kepada peneroka.

"Yang ini tak boleh, yang itu tak boleh. Kita masuk Felda bukan nak menjadi kuli mereka. Kita mahu merdekakan jiwa dan fikiran peneroka. Saya bagi jaminan, jika kita menang di Hulu Selangor, kita akan menang di Sibu, kita juga akan menang di Putrajaya...kita akan kembalikan hak dan maruah peneroka Felda," kata Anwar dengan disambut tepukan gemuruh masyarakat peneroka yang datang.



Bagi beliau, peneroka perlu merdeka untuk berpolitik, berpesatuan dan beraktiviti bukannya sentiasa dikongkong oleh Felda.


"Felda juga ditubuhkan bukan untuk mengkayakan Felda tetapi membantu peneroka. Kita tidak mahu Felda yang menjadi korporat sekarang. Kita berjanji akan pulangkan kekuatan korporat Felda kepada peneroka, kita akan jadikan peneroka yang merdeka," kata Anwar.



Selepas memberikan ceramah di situ, Anwar mengambil kesempatan untuk berbincang sambil minum teh tarik dengaan dua tokoh di sebalik memerdekakan Felda iaitu Pengerusi Anak Mazlan Aliman dan peguam Haji Suhaimi Said.



Pagi ini Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz akan merasmikan himpunan itu manakala Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan menutupnya petang nanti.



Nik Aziz sekali lagi akan memberikan ceramahnya di tapak yang sama malam ini iaitu yang terakhir menjelang pilihan raya esok.



BEKALAN ELEKTRIK TERPUTUS SEMPENA HIMPUNAN ANAK-ANAK FELDA

Harakahdaily

HULU SELANGOR, 23 April: Tiga kawasan Felda di Hulu Selangor terputus bekalan elektrik sejak jam 1 tengahari tadi. Ia dibimbangi kalau-kalau ia dibuat untuk mensabotaj program Himpunan Anak-anak Peneroka Felda yang sedang berjalan di Desa Maju, Felda Sungai Tengi.


Ekoran ketiadaan bekalan elektrik itu, beberapa program yang dirancang dalam perhimpunan ini terpaksa dibatalkan.


Namun begitu, pihak penganjur perhimpunan ini, iaitu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) telah menguruskan generator bergerak untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik ini.


Malam ini, tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat akan turun memberikan ceramah di majlis perhimpunan yang diadakan di pusat atau medan Felda Sungai Tengi ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bergabung dengan Haji Muhamad Sabu di samping calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim akan memberikan ucapan masing-masing.

Besok, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat akan merasmikan perhimpunan ini. Beliau akan disertai sama oleh datuk Dr Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco kerajaan negeri.

Dua kertas kerja akan dibentangkan di perhimpunan yang menurut sumber sangat dibimbangi oleh jentera pilihan raya BN.

Ini kerana, Anak, pimpinan Mazlan Aliman ini sangat memahami masalah di Felda dan bakal menaikkan semangat peneroka Felda untuk membetulkan kesilapan yang dibuat oleh Felda.


ISU PERTAMA: GSA

Salah satu kertas akan dibentangkan oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud yang berjaya memberikan
RM11 juta kepada Peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan yang berjaya dalam saman mereka terhadap Felda.


Beliau akan memberikan
tafsiran sebenar Akta GSA 1960 yang mengawal pergerakan Felda. Ia dibuat berdasarkan keputusan mahkamah terhadap saman yang beliau kendalikan bagi pihak peneroka Fekda Kemahang itu.


Kertas beliau akan diulas pula oleh aktivis yang pernah ditahan ISA kerana isu Felda iaitu Haji Suhaimi Said yang juga seorang peguam.


ISU KEDUA: ISU PERAHAN

Satu lagi isu yang akan dibincangkan dalam himpunan ini adalah i
su perahan di kilang kelapa sawit Felda. Ia akan dibentangkan oleh Razali Ithnin, bekas pegawai kanan MPOB.

Turut dibawa ke Felda ini adalah para pejuang isu Felda dari kawasan seluruh negara, Antaranya dari Lurah Bilut, Cahaya Baru dan lain-lain.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka akan memberikan ucapan penutup malam esok. Beliau dijangka membuat beberapa pengumuman penting untuk Felda.


PENEROKA HARUS BANGKIT MEMPERTAHANKAN HAK MEREKA!
JANGAN LAGI TERTIPU DAN TERUS TERTIPU!


Nazri Abdullah
HULU SELANGOR, 24 April: Warga peneroka digesa berani mempertahankan hak mereka dari terus ditipu dan ditindas Felda dan kerajaan BN khususnya dalam isu hak pemilikan tanah.


Peguam Wan Rohimi Wan Daud berkata, Felda kini menggunakan Akta Kumpulan Penempatan Berkelompok atau Group Settlement Act (GSA) 1960 untuk menindas peneroka.

Peneroka jelasnya ditekan akan dibuang dari rancangan Felda jika melanggar akta itu, sedangkan Felda langsung tiada kuasa berbuat demikian.

"Itu tahyul belaka, selama 52 tahun Felda guna akta GSA ini takutkan peneroka.

"Isu tanah ini adalah kuasa kerajaan negeri bukan Felda," katanya sewaktu membentangkan kertas kerja di Himpunan Warga Felda Kebangsaan Kali Ke-2 di Sg. Tengi hari ini.


Rohaimi yang juga peguam kes Felda Kemahang 3, Kelantan yang menang baru baru ini berkata,
beberapa penindasan lain juga wujud, dan didakwa dirancang secara teliti pihak Felda tanpa pengetahuan peneroka.

"Tiga benda Felda tipu peneroka secara tidak sedar iaitu
isytihar buah reject, curi buah reject dan isytihar kualiti minyak rendah," katanya lagi.

Menurutnya, hasil penyiasatan yang dilakukan mendapati dalam purata 7 tan kelapa sawit, Felda mengisytiharkan
setengah tan adalah buah yang di reject.


Namun dedahnya, buah yang diisytihar reject itu
bagaimanapun tidak dibenar diambil semula oleh peneroka berkenaan.


"
Pada malamnya, lori akan datang ambil buah reject itu dibawa ke kilang untuk diproses.


"Tapi Felda tidak pernah agihkan wang dari buah reject ini kepada peneroka," katanya lagi.


Ekoran itu tambahnya,
setiap peneroka rugi atas angin RM250 sebulan ditipu Felda dangan "buah reject".


Selain itu, setiap kilang Felda juga jelasnya turut mewujudkan kolam minyak busuk.

Bagaimanapun,
pada sebelah malamnya, 'lori hantu' diarah datang menyedut minyak tersebut untuk dijual.


"Minyak busuk ini ada harga, Felda jual minyak ini tetapi langsung hasilnya tidak diberikan kepada peneroka," katanya lagi.


Membuat pendedahan seterusnya Rohaimi berkata
duit hasil minyak dari biji kelapa sawit juga tidak diwartakan Felda kepada peneroka.


Apa yang diberikan kepada peneroka katanya
hanya hasil minyak dari sabut buah kelapa sawit sahaja.


"Jenis apa ke ini, dapat nasihat dari Apco la ni," katanya.


Sehubungan itu katanya, nasib peneroka hanya akan terbela jika kerajaan negeri berpihak kepada mereka.


Maka ujarnya, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor adalah yang terbaik membela nasib mereka.


Perubahan jelasnya harus dimulakan pada pilihan raya Hulu Selangor ini dengan mengundi calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.


Zaid usaha selesai hak milik tanah peneroka Felda

Dzulfikar Mashoor

HULU SELANGOR, 20 April: Datuk Zaid Ibrahim, calon Pakatan Rakyat petang tadi mengumumkan tiga agenda perubahan yang ingin dilaksanakan di Parlimen Hulu Selangor sekiranya dipilih ke Parlimen kelak termasuk pemilikan tanah Felda.

Demi menyelesaikan masalah pemilikan tanah oleh para peneroka Felda pula, beliau bercadang mengajak kerajaan negeri bertindak campur tangan dalam menghadapi birokrasi Felda, iaitu badan berkanun di bawah Pusat.

Dengan pengalaman menjadi peguam kanan bagi kerajaan sebelum ini, beliau bersedia untuk memastikan para peneroka Felda terbabit mendapat hak pemilikan tanah yang sepatutnya kelak.

Selain itu, dua agenda lain menyentuh soal kepentingan anak muda dan isu keperluan air percuma setelah berbincang panjang dan dipersetujui sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.


"Apa-apa pun yang nak saya laksanakan, saya perlu berbincang dulu dengan beliau (Khalid), sekiranya tidak ada sokongan kerajaan Selangor, sekiranya tidak ada sokongan rakyat, tentunya tidak berjaya," ujarnya pada sidang media yang masuk hari keempat berkempen, hari ini.

Untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempat, Zaid berkata, beliau sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat supaya aktiviti ekonomi digalakkan di Hulu Selangor.

Menurut beliau, dengan berbuat demikian, anak-anak muda Hulu Selangor tidak perlu lagi berhijrah keluar mencari pekerjaan sebaliknya mereka boleh bersama-sama kerajaan negeri mengubah tahap kehidupan masing-masing di samping menikmati kekayaan hasil bumi negeri Selangor sendiri.

Selain itu, beliau juga berusaha mereputasi kualiti hidup rakyat di Hulu Selangor, termasuk memastikan setiap rakyat mendapat nikmat 20 meter padu air daripada kerajaan negeri secara percuma.

Menurut beliau, tidak ada maknanya sebuah kerajaan negeri sekiranya kekayaan yang diperolehi dari hasil bumi Selangor tidak dinikmati oleh rakyat sendiri.

Bercakap pada sidang media yang sama, Khalid menganggap Zaid mampu memberi nilai tambah pada PKR, Pakatan Rakyat Selangor dan kerajaan negeri sendiri.

"Saya nak tegaskan bahawa pemilihan Datuk Zaid ini adalah berasaskan pelbagai nilai tambah dan peranannya akan memberi nilai tambah yang besar untuk kekuatan PKR, Pakatan dan kerajaan negeri.

"Nilai tambah yang perlu dan boleh dilakukan oleh Zaid ini, beliau bukan sahaja boleh membawa isu penafian hak peneroka Felda ke Parlimen, boleh memberitahu kaedah-kaedah dan cara-cara untuk menyelesaikan isu tanah menggunakan jalan perundangan," jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, sekiranya rakyat memilih Zaid, bermakna rakyat memilih seseorang pemimpin yang bersedia menentang kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mempertahankan kebebasan bersuara dan demokrasi yang menjadi hak asasi rakyat di Dewan Rakyat kelak.


Turut menyertai Zaid dan Khalid di Pusat Informasi dan Media, Kuala Kubu Baru adalah Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dan Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya.