Selain itu, Felda melakukan pelbagai strategi bagi memaksa peneroka menyerahkan tanah mereka. Felda Plantations menawarkan mereka untuk menjadi pemegang saham dengan kadar bayaran pulangan bulanan adalah RM 1,500-RM 2,100 tanpa perlu bersusah payah bekerja diladang seperti dahulu. Namun mereka yang bersetuju dipaksa membuat pinjaman kos menanam semula kebun dan membina rumah baru. Jumlah hutang ini sekitar RM70,000-RM 90,000 sedangkan mereka yang menolak masih mampu hidup tanpa hutang dengan hasil sekitar RM 4,000-RM 7,000 sebulan.
Itu adalah sebahagian kecil fakta yang menjadi rintihan peneroka Felda. Namun, usaha membongkar lebih banyak penindas semakin cuba dihalang. Umno juga dilihat mempergunakan sentimen Melayu bagi menghasut peneroka menolak Anak, walhal Pengerusinya sanggup ke penjara untuk perjuangkan masa depan mereka.
PAS menyokong perjuangan Anak dibebaskan dan mahu hak peneroka Felda untuk bersuara tidak disekat. Peneroka Felda bukan banduan, mereka adalah rakyat yang merdeka dan berhak untuk bertemu sesiapa yang mereka suka. Jadi tidak ada salahnya jika Mazlan ingin bertemu mereka. Dan sebagai Pengerusi Anak, beliau berhak untuk meninjau ahli-ahlinya disemua kawasan kerana hak untuk berpersatuan dijamin oleh perlembagaan negara ini.
Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tolak BN, protes layanan tidak adil Felda
Dzulfikar Mashoor |
HULU SELANGOR, 23 April: Para pengundi di kawasan Felda dalam Parlimen Hulu Selangor perlu menggunakan kuasa mengundi untuk memprotes layanan tidak adil kerajaan Pusat dan Felda kepada mereka.
"Apa yang penting bagi kita adalah Hulu Selangor mesti menjadi referandum peneroka Felda tolak kezaliman Najib dan (pengurusan) Felda Holding yang selama ini tidak pernah endah dengan makan minum yang sepatutnya dinikmati oleh kita dan tanah yang sepatutnya menjadi milik kita," ujar Badrul Hisham Shaharin (gambar), Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Beliau juga mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta jentera Umno supaya tidak menjadikan konsortium Felda Holdings Bhd sebagai perkakas politik kempen demi meraih sokongan pengundi di beberapa Felda, di sini.
Badrul Hisham berkata, tanpa sumbangan peneroka Felda generasi pertama, kerajaan dan Felda yang ada hari ini tidak mungkin menikmati hasil kekayaan bumi Malaysia.
"Sebelum Malaysia berjumpa minyak, semaju mana, sehebat mana Malaysia, Malaysia ini dibina oleh keringat masyarakat Felda sehingga menjadikan Malaysia antara pengeluar getah ulung di negara dan antarabangsa.
"Negara ini asasnya dibina dari hasil getah dan kelapa sawit, kalau Najib dan Felda mahu bercakap dengan para peneroka Felda, tolong hormat maruah mak bapak (generasi pertama) kita," jelas beliau di Felda Gedangsa, Dun Hulu Bernam, malam tadi.
Sehubungan itu, beliau yang juga ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) PKR menegaskan bahawa pihak pengurusan Felda tidak seharusnya mengabaikan peranan para peneroka di seluruh negara.
"Hari ini, Felda jauh meninggalkan para peneroka, Felda sudah menjadi punca dan lubuk kekayaan yang menjadi cita-cita seluruh pemimpin Umno yang tidak ada maruah ini," ujarnya lagi di depan lebih 300 para peneroka terbabit.
"Berbilion ringgit yang diperdagangkan oleh Felda dalam industri perhotelan, termasuk di Arab Saudi, tetapi para peneroka yang bersabung nyawa di hutan belantara sejak tiga dekad lalu masih dibayar upah serendah gaji yang mereka terima dahulu, dan terus hidup susah di bawah ini."
Tambahnya lagi, peneroka Felda dahulu diajak menyertai pengurusan Felda untuk membuat nilai harga sawit dan buat polisis-polisi demi memelihara kepentingan peneroka sendiri, hari ini semua itu dimansuhkan kerana Felda sudah dijadikan lubuk kakayaan mereka yang tidak bertanggungjawab," tambahnya.
Disebabkan itu, para peneroka tidak seharusnya menyuarakan rasa kecewa apabila Najib serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta peneroka Felda berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi memberi sagu hati kepada para peneroka.
Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, Najib, Muhyiddin dan kerajaan sepatutnya berterima kasih kepada para peneroka Felda kerana pegangan saham mereka secara holistiknya adalah 51 peratus, menguasai Felda Holdings Bhd.
MAMPUKAH ZAID IBRAHIM PERJUANGKAN MASYARAKAT FELDA?
Saturday, 24 April 2010 3:03 AM
KUALA LUMPUR : Itulah persoalan yang dilontarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dihadapan kira-kira 700 pendengar di Padang Awam, Batang Kali, Hulu Selangor malam tadi.
Khalid berkata, warga Felda di Hulu Selangor perlu memilih calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim agar masalah yang mereka hadapi sejak 16 tahun lalu segera diselesaikan.
Menurutnya, umum mengetahui bahawa Zaid merupakan seorang peguam dan pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan berkaitan undang-undang di negara ini.
Sehubungan itu, katanya, Zaid sudah pastinya mampu memperjuangkan hak sebenar peneroka Felda di Hulu Selangor, termasuklah masalah yang membelenggu Felda Sungai Buaya sejak tahun 1994 lagi.
“Kita memerlukan seorang Ahli Parlimen yang arif perihal perundangan agar kuat dan mampu memperjuangkan hak peneroka Felda di Hulu Selangor, seterusnya menyuarakan masalah yang dihadapi peneroka-peneroka itu di parlimen,” katanya yang disambut tepukan gemuruh oleh hadirin malam tadi.
Khalid yang berucap dengan penuh semangat malam tadi turut mengkritik lakonan Presiden Umno, Najib Razak yang merasuah peneroka Felda RM50,000 pada petang Jumaat lalu yang disifatkannya sebagai penipuan semata-mata.
“Saya telah memberitahu kepada peneroka Felda Sungai Buaya bahawa jika Najib memberikan wang, ambil tetapi jangan sesekali menandatangani apa-apa perjanjian agar pisang tidak berbuah dua kali.
Peneroka harus ingat, hutang syarikat itu yang juga kroni Umno berhutang kira-kira RM 800,000 kepada setiap keluarga peneroka seramai 363 orang dan pemberian wang itu adalah hak anda dan anda berhak menerimanya namun jangan sesekali terlena dengan lakonan Najib,” katanya.
Difahamkan, kedatangan Najib ke Felda Sungai Buaya petang semalam adalah yang pertama sepanjang beliau menjadi ahli Umno.
Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Buaya, Saidin Busu berkata, amat jarang menteri melawat mereka sejak masalah itu berlarutan di era bekas Menteri Besar Umno, Muhammad Taib, termasuklah Najib sendiri.
Dalam lawatan itu, Najib memberikan tunai RM 1,000 kepada 100 peneroka di kawasan itu dengan baki RM49,000 wang itu kononnya akan diberikan dalam bentuk bank draf selepas hari pengundian, itupun jika BN menang!.
Saidin menjelaskan, jumlah sebenar yang layak menerima wang itu bukan 100 orang tetapi 363 peneroka seperti mana perjanjian asal pada tahun 1994 yang disediakan sendiri oleh syarikat Murna Jaya, sebuah syarikat kroni Umno.
“Hutang sebenar syarikat Murna Jaya kepada kami ialah kira-kira RM800,000 seorang dan bukannya RM50,000,” katanya sambil menegaskan bahawa belum tentu janji Najib itu ditunaikan seperti mana lakonan para pemimpin BN sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, tinjauan erapakatan.com mendapati syarikat asal Murna Jaya di kawasan itu kini merupakan markas BN.
No comments:
Post a Comment