Sunday, April 11, 2010

Umno Tipu Tanah Penduduk Felda Sg Buaya

Oleh Rusnizam Mahat, suara keadilan

SUNGAI BUAYA 11 Apr - Kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Umno-Barisan Nasional didakwa menipu penduduk Felda Sungai Buaya dengan mengambil tanah mereka tanpa diberikan pampasan seperti yang dijanjikan lebih 16 tahun dahulu.


Pasti ramai yang masih mengingati kisah 363 peneroka Felda Sungai Buaya yang ditipu dengan janji-janji manis syarikat pemaju yang kononnya mahu menjadikan mereka jutawan segera.


Kisah itu berlaku ketika Selangor di bawah pimpinan Umno dan dipimpin Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Selama itu juga, penduduk Sungai Buaya hidup dalam penderitaan selepas tanah kebun mereka dijual kepada syarikat pemaju, Murna Jaya Development Bhd kononnya bagi dibangunkan dengan projek perumahan.


Namun impian mereka berkecai dengan harapan dan janji palsu yang diberikan pihak pemaju yang turut mempergunakan Umno untuk mempengaruhi penduduk berkenaan. Bahkan mereka tidak diberikan bayaran penuh seperti yang dijanjikan sebanyak RM1 juta.


Akibatnya, impian mereka bergelar jutawan bukan sahaja berkecai, malah mereka kehilangan tanah kebun kelapa sawit yang memberikan mereka sumber pendapatan dan rezeki selama ini. Apa yang tinggal kepada peneroka itu kini hanyalah tapak rumah sebesar sekangkang kera.


Barangkali ramai yang tidak mengetahui atau terlupa bahawa Muhammad Taib merupakan salah seorang dari enam ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan dan tali barut yang terlibat secara langsung dalam menipu dan merampas hak-hak peneroka Felda itu.


Ketua kampung Sungai Buaya, Saidin Busu antara 34 orang peneroka Felda yang memfailkan kes itu ke mahkamah pada 2002 selepas menyedari diri mereka ditipu dengan perjanjian yang mengelirukan dan berat sebelah.


"Ketika itu Muhammad Taib, orang kepercayaan penduduk di sini sebagai Menteri Besar, apa yang dia cakap penduduk lebih faham. Itulah bermulanya titik hitam Felda Sungai Buaya.


"Muhammad Taib dia terlibat. Sebab itu saya nak cakap hari ini, dalam Sinar (Harian) tak keluar. Muhammad Taib adalah antara enam ahli lembaga pengarah dalam syarikat Murna jaya pada 1994. Setiap perjanjian dalam lembaga pengarah ditandatangani beliau. Dalam mahkamah pun perkara itu disebut," kata Saidin.


"Inilah penyamun-penyamun yang merompak tanah kami," celah Jamadi Mohammad, pengerusi jawatankusa yang mewakili 34 penduduk yang membawa kes itu ke mahkamah.


Menurut Jamadi, setelah tamat perjanjian asal pada 1999 iaitu selepas 48 bulan tarikh perjanjian, baki keseluruhan masih tak dijelaskan. Kemudian projek tersebut ditunda dengan satu lagi janji oleh syarikat sehingga 2004.


"Hanya satu janji pada tahun 2000 ditunai, itupun tak menepati janji apabila pihak ketiga membayar kepada pihak kedua (Murna Jaya) RM112,000. Kemudian sampai kepada kita RM41,000. Ke mana lagi RM72,000. Sedangkan pihak ketiga sudah bayar. Ini ada penyata yang dibawa ke mahkamah," kata Jamadi.


Manakala pada 2005 ujarnya, mereka dibayar hanya RM1,000 bagi menyambut persiapan bulan Ramadhan dan Hari Raya Puasa pada masa itu. Selepas itu mereka tidak lagi mendapat sebarang bayaran sehingga hari ini.


"Bila kita jumpa peguam, peguam bertanya, kenapalah you sign. Kita ni manalah tahu. Macam pakcik ni umur 65 sekolah pun sekolah rendah. Dari segi perundangan tak tahu. oleh kerana dakyah dan dipengaruh, siapa yang tak nak senang dengan janji-janji manis dia orang ini.


Sepanjang perjuangan mempertahankan hak mereka, Saidin berkata, mereka mengharungi pelbagai cemuhan dari sebahagian peneroka yang dipengaruhi oleh janji-janji berkenaan sehingga dituduh sebagai pengkhianat yang mahu menggagalkan perjanjian itu.


"Sehinggakan kalau kenduri-kendara yang 34 orang ini, kalau tak ada saudara mara yang datang, tak ada orang pun. Pengerusi kita sebelum Jamadi, arwah Rahim Johari meninggal tak ada yang hadir melainkan ahli persatuan.


"Kami dipulaukan, disisihkan dalam masyarakat. Kami ni dianggap pengkhianat untuk menggagalkan pembangunan di kawasan ini. Selepas 2008, saya salah seorang yang bawa kes ini ke mahakamah, dilantik sebagai ketua kampung dan pengerusi JKKK. Baru kita mendapat program menerangkan cerita sebenar.


"Sekarang baru ada peneroka yang sedar, tetapi masih ada konco-konco yang senang dibayar, masih lagi dikedai-kedai menyatakan kamilah yang salah. Bagi kami jalan penyelesaiannya adalah bayar hak kami. Kesian kepada penduduk. Daripada 363 peneroka tinggal 66 orang sahaja kerana yang lainnya telah meninggal dunia.," ujar beliau lagi.


"Allah Taala yang Maha Kaya mengetahui, mana yang betul mana yang tak betul. Sekarang mereka sedar" ujar Jamadi pula.


Felda Sungai Buaya, mimpi ngeri buat Umno di Hulu Selangor

Tuesday, 20 April 2010 3:29 PM Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pengundiaanya akan berlangsung pada 25 April ini pastinya merupakan mimpi ngeri buat Umno dan Barisan Nasional di Hulu Selangor terutamanya bagi pengundi Melayu bagi Felda di situ.


Ini kerana Syarikat Murna Jaya Development Berhad, yang juga proksi Umno didakwa berhutang ratusan ribu ringgit terhadap peneroka Felda di Kampung sungai Buaya, di Hulu Selangor.


Hutang terhadap 363 peneroka itu sejak 16 tahun lalu sehingga ke hari ini gagal dilangsaikan walaupun perjanjian asal itu syarikat berkenaan mesti melunaskan hutang mereka sebelum tahun 1998 lagi.


Kejadian itu mula berlaku apabila satu perjanjian antara 363 peneroka Felda di Kampung Sungai Buaya terbabit dengan Syarikat Murna Jaya Development Berhad ditandatangani pada 23 Disember 1994.


Perjanjian itu yang disediakan sendiri oleh pihak pemaju didakwa berat sebelah apabila anak-anak penoraka itu dihalang menyemak dan membaca syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian itu.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) di Felda Kampung Sungai Buaya, Saidin Busu, 42, berkata, akibatnya perjanjian itu bukan sahaja zalim tetapi menindas peneroka apabila nilai tanah yang mengikut perjanjian asal sepatutnya dijual RM5.20 untuk sekaki persegi tetapi dalam perjanjian yang tertulis hanya RM2.80 iaitu setengah daripada perjanjian asal.


Menurutnya, pihak pemaju pula mendesak agar peneroka yang hampir keseluruhanya warga emas menandatangani sahaja perjanjian itu.


“Pihak pemaju bersikap samseng apabila mengarahkan peneroka ketika itu menandatangani sahaja perjanjian itu secara serentak dalam masa yang singkat selain menghalang anak-anak peneroka daripada membacanya apatah lagi menyemak isi kandungan itu,” katanya kepada erapakatan.com semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Saidin memberitahu, perjanjian itu menyebut Syarikat Murna Jaya Development Berhad perlu melunaskan hutang itu dalam tempoh 36 bulan atau sebelum tahun 1998.

Sehinggalah pada tahun 1999, syarikat itu tetap gagal melunaskan perjanjian itu yang membawa kepada perjanjian kedua.

“Dalam perjanjian ini, syarikat itu mendakwa akan melunaskan hutang mereka yang berbaki ratusan ringgit dalam tempoh 24 bulan atau sebelum tahun 2003.

Namun, kami hairan dari tahun 1999 sehinggalah ke hari ini, kami langsung tidak pernah ditunjukkan perjanjian itu dalam bentuk hitam putih.

Mana perjanjian itu, kami mahu lihat, kalau betul adalah… kerana sehingga tahun 2003 syarikat itu tetap gagal melunaskan hutang mereka yang mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya kesal.

Saidin menjelaskan, setiap peneroka mengikut perjanjian pertama pada Disember 1994 mesti dibayar RM1 juta seorang dan pembayaran pendahuluan oleh syarikat itu hanya dilunaskan RM10,000 ketika itu.

“Bayaran itupun mereka bayar secara ansuran dan sehingga tahun 2003, kami hanya menerima RM 270,000 seorang bagi setiap peneroka dan ada di antara kami menerima kurang daripada jumlah itu.

Tetapi yang pasti, syarikat masih berhutang hampir RM800,000 bagi setiap peneroka dalam perkampungan Felda Kampung Sungai ini,’ katanya.

Tuntut Janji

No comments:

Post a Comment