FELDA Global Venture Holdings menggunakan tunai simpanan (cash reserves) dan berhutang secara besar-besaran, untuk menjalankan merger dan akuisisi di luar negeri.
Lebih-lebih lagi, pembelian perusahaan-perusahaan ini dijalankan dalam keadaan tidak bersedia, tanpa penelitian dan tanpa penyemakan bagaimana dana ini digunakan, dan maklumat terperinci berhubung pelaburan ini.
Demikianlah perubahan-perubahan yang dilakukan dalam FELDA, setelah Najib Razak menyandang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sumber dalaman FELDA memberitahu Merdeka Review mengenai tindak tanduk yang membimbangkan itu berlaku setelah Najib Razak menguasai FELDA sepenuhnya, terutamanya apabila FELDA Global Venture Holdings ditubuhkan pada tahun 2007.
"Sebelum Najib masuk, kami (FELDA) tidak pernah bertindak sebegitu pantas dalam pembelian perusahaan (merger dan akuisisi). Tetapi setelah Najib masuk, terutamanya selepas penubuhan FELDA Global Venture Holdings, pembelian perusahaan di luar negeri dijalankan dengan begitu giat sekali," kata sumber maklumat.
Malah keputusan pembelian perusahaan atau pelaburan ini bukannya hasil perbincangan dalam FELDA tetapi semata-mata atas arahan politik. Lebih-lebih lagi, dalam kebanyakan masa, hanya beberapa orang atasan sahaja yang mengetahui maklumat terperinci mengenainya.
Beliau menambah, Najib menjalin hubungan yang erat dengan FELDA sejak beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri lagi. Kekerapan Najib muncul dalam mesyuarat-mesyuarat FELDA bertambah dari purata dua bulan sekali, sehingga sebulan sekali sekarang, bahkan kadang-kala, dua minggu sekali.
Apa yang menarik, Najib telah mengalihkan FELDA ke bawah Jabatan Perdana Menteri setelah beliau dilantik sebagai TPM pada tahun 2004. FELDA diletakkan secara langsung di bawah bidang kuasa dirinya.
Strategi radikal dalam pembelian perusahaan
Sumber maklumat ini meluahkan keresahan pihak dalaman FELDA, "Kami menganggap projek merger dan akuisisi (yang dijalankan FELDA Global Venture Holdings) tidak harus dilakukan dengan tergesa-gesa, sekurang-kurangnya nilailah dahulu hasil projek pembelian perusahaan sebelum terus kepada projek yang selanjutnya... Bukannya asyik beli sahaja."
Lebih penting, pembelian ini dijalankan tanpa persediaan yang mencukupi dalam FELDA sendiri, iaitu tidak mengambil kira sama ada mereka mampu untuk menanganinya. Misalnya, FELDA Global Venture Holdings mengambil alih kilang pemprosesan minyak kelapa sawit di luar negeri, yang mana perusahaan utamanya adalah penghasilan produk yang mempunyai nilai tambahan, sementara bahan mentahnya (iaitu kelapa sawit) dibekalkan melalui projek peneroka FELDA. Pada hakikatnya, FELDA sendiri belum bersedia untuk memenuhi keperluan kilang pemprosesan yang semakin bertambah.
Pelaburan di luar negeri
FELDA Global Venture Holdings ditubuhkan pada Disember 2007, tetapi hanya diumumkan struktur organisasinya pada Julai tahun lalu. Tiga buah anak syarikat di bawah FELDA Global Venture Holdings adalah Felda Global Ventures North Amerika Sdn. Bhd, Felda Global Ventures Indonesia Sdn. Bhd dan Felda Global Ventures Middle East Sdn. Bhd.
Setakat ini, pelaburan di luar negeri oleh FELDA Global Venture Holdings yang diumumkan termasuklah pembelian Syarikat Twin River Technologies di Amerika Syarikat.
Selain itu, FELDA Global Venture Holdings turut mencari peluang pelaburan dalam bidang perladangan di Indonesia di samping terlibat dalam pelaburan di Timur Tengah.
Sebagaimana yang diketahui, apa yang diumumkan ini hanyalah sebahagian daripada pelaburannya. Pada hakikatnya, syarikat ini telah menerokai pelaburan di Brazil, India dan Amerika Syarikat. Tetapi, pelaburan ini masih dalam keadaan menanggung kerugian.
Selain itu, FELDA telah menggunakan tunai simpanan (cash reserves) dan berhutang untuk menanggung pembelian perusahaan di luar negeri ini. Lantaran daripada itu, tunai simpanan FELDA menunjukkan pola pengurangan, malah menanggung hutang yang besar.
"Pada awalnya, ketika FELDA mempunyai banyak tunai simpanan, sesetengah elit menuduh bahawa wang ini tidak dikendalikan dengan baik, dan seharusnya digunakan untuk melabur. Namun, pelaburan seharusnya mempunyai perancangan jangka panjang, bukannya melabur secara tergesa-gesa. Kini, tunai simpanan yang tinggal tidak seberapa, kerana telah digunakan untuk merger dan akuisisi."
Sumber maklumat ini berkata, "Saya bersetuju dengan Tan Kee Kwong (bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi), bahawa FELDA pada asalnya tidak berhutang, tetapi terlebih berhutang pada masa sekarang ini.
Baru-baru ini, kerajaan Najib mengakui bahawa tunai simpanan FELDA telah berkurang dari RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009, dengan pengurangan pada kadar 67%.
Selain itu, Tan Kee Kwong pernah mendedahkan bahawa FELDA memiliki aset bernilai RM7 bilion, dan tunai simpanan sejumlah RM4.5 bilion malah tidak berhutang, sebelum Najib mengambil alih FELDA.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa FELDA sedang merancang untuk menerbitkan bon yang bernilai RM6bilion, sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula FELDA.
Angka ini sama dengan pengumuman FELDA Global Venture Holdings bahawa mereka merancang untuk melaburkan lebih RM6 bilion untuk memperluaskan perusahaannya.
Pembangkang mengkritik bahawa Najib dan Mohd Bakke Salleh yang bakal menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, harus bertanggungjawab terhadap pengurangan tunai simpanan secara mendadak dalam FELDA.
Sumber dalaman FELDA mengesahkan bahawa setelah FELDA melantik Mohd Bakke Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Global Venture Holdings pada tahun 2008, merger dan akuisisi mula dijalankan dengan giat di luar negeri.
Peneroka FELDA diketepikan
Di samping itu, sumber maklumat ini menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju bahawa peneroka FELDA diketepikan ketika keputusan pelaburan ini dilakukan.
"FELDA memegang 100% saham FELDA Global Venture Holdings, tetapi peneroka FELDA tidak boleh turut serta, dan tiada hak untuk mengetahui dan mengundi dalam FELDA Global Venture Holdings".
Jangan lupa, kilang pemprosesan kepala sawit yang dibeli FELDA Global Venture Holdings itu, kelapa sawitnya dibekalkan peneroka FELDA. Daripada 800 ribu hektar ladang yang dimiliki FELDA, 50% daripadanya dimiliki oleh peneroka FELDA. Tindakan ini (mengetepikan peneroka FELDA) telah merampas hak yang seharusnya dimiliki mereka," katanya.
Menurut laporan media, kerajaan hanya memindahkan 49% saham FELDA yang dimiliki kerajaan ke FELDA Global Venture Holdings ketika ia ditubuhkan, sementara 51% saham yang dimiliki peneroka FELDA terus dikekalkan dalam FELDA. Peneroka FELDA memegang 51% saham melalui Koperasi Permodalan Felda, yang terdiri daripada 110 ribu orang peneroka FELDA dan 22 ribu orang pekerja.
Dengan kata lain, walaupun FELDA menguasai 100% saham FELDA Global Venture Holdings, namun peneroka FELDA yang merupakan pemegang saham besar (51%) telah diketepikan dalam proses membuat keputusan dalam FELDA Global Venture Holdings.
Menurut laporan The Malaysian Insider semalam, National Association of Felda Settlers’ Children telah menggesa agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sama ada dana FELDA telah disalahgunakan.
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, seandainya Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan enggan memberi penjelasan berikutan pengurangan tunai simpanan FELDA, maka pihaknya bersedia untuk membuat laporan kepada SPRM dan balai polis di setiap negeri pada bulan depan.
Minggu lalu, Ahmad Maslan menafikan bahawa pengurangan tunai simpanan FELDA disebabkan salah urus, malah menafikan bahawa wang ini disalahgunakan - Merdeka Review
No comments:
Post a Comment