Sunday, July 18, 2010

Sebulan tiada air di FELDA, takpe, Tak Bankrap

Sejak hampir sebulan lalu, lebih 2,000 penduduk di Felda Neram Satu , Terengganu di sini hidup seperti zaman sebelum merdeka apabila terpaksa kembali menggunakan air telaga dan sungai selepas bekalan air paip ke kawasan itu terputus. Penduduk mendakwa mereka tiada pilihan selain terpaksa menggali telaga atau mengambil air sungai untuk kegunaan harian walaupun menyedari kesihatan mereka mungkin terjejas kerana menggunakan sumber air yang tidak dirawat.

**********************

Berita Harian 6 Julai 2010

SEBULAN TIADA AIR

PENDUDUK FELDA NERAM SATU GUNA AIR TELAGA, SUNGAI UNTUK KEGUNAAN HARIAN

SERI BANDI: Sejak hampir sebulan lalu, lebih 2,000 penduduk di Felda Neram Satu di sini hidup seperti zaman sebelum merdeka apabila terpaksa kembali menggunakan air telaga dan sungai selepas bekalan air paip ke kawasan itu terputus.

Penduduk mendakwa mereka tiada pilihan selain terpaksa menggali telaga atau mengambil air sungai untuk kegunaan harian walaupun menyedari kesihatan mereka mungkin terjejas kerana menggunakan sumber air yang tidak dirawat. Seorang suri rumah yang ditemui, Khazimah Awang Kecik, 54, berkata mereka terpaksa berjalan kaki kira-kira 500 meter ke sebuah perigi untuk mengangkut air.

“Kami terpaksa berbalik kepada zaman susah dengan menggunakan air telaga untuk minum dan membersihkan diri,” katanya sambil menambah bekalan menerusi lori tangki yang disediakan Syarikat Air Terengganu (SATU) sebanyak dua tong kecil sehari tidak mencukupi.

Penduduk, Sulong Taib, 48, berkata penduduk bersyukur dengan bekalan yang disalurkan SATU kerana boleh dijadikan air minuman, bagaimanapun berharap lori tangki berkenaan datang mengikut jadual yang tetap.

“Ada ketikanya, lori tangki berkenaan menghantar bekalan air pada waktu malam menyebabkan penduduk terpaksa berjaga,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketiadaan bekalan air paip menyusahkan kanak-kanak sekolah yang terpaksa berjalan kaki ke telaga atau sungai pada setiap awal pagi dan keadaan itu menjejaskan keselamatan mereka.

Musa @ Ngah Abdullah, 67, berkata keadaan menjadi bertambah sukar apabila penduduk ingin berjemaah di masjid atau surau kerana tiada bekalan air.

“Tangki air sementara yang disediakan pihak berkaitan untuk kegunaan jemaah tapi jumlahnya tidak cukup untuk menampung keperluan jemaah,” katanya.

Tinjauan Edisi Timur ke kawasan itu mendapati penduduk sudah terputus bekalan air sejak sebulan lalu dan terpaksa menggunakan air telaga atau sungai berdekatan. Lori tangki SATU yang membekalkan air di kawasan itu dapat meringankan sedikit beban penduduk mendapat bekalan air bersih.

Sementara itu, Jurutera SATU Daerah Kemaman, Atemin Sulung, ketika dihubungi menjelaskan, masalah berkenaan disebabkan jumlah pengguna terlalu ramai tetapi pengeluaran air daripada Loji Rawatan Air Sungai Cerul tidak dapat menampung keperluan pengguna.

“Loji air yang digunakan sekarang dibina sejak berpuluh tahun lalu, justeru tidak dapat menampung bekalan air yang mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan ini.

“Bagaimanapun, sebagai langkah sementara SATU terpaksa membekalkan air ke beberapa kawasan berpenduduk padat yang terbabit seperti Bandar Cheneh Baru, Felda Cherul, Felda Neram dan beberapa kampung lain secara bergilir-gilir selang sehari,” katanya.

Katanya, bagi kawasan perumahan di kawasan tinggi dan mempunyai tekanan air rendah, kami terpaksa menghantar lori tangki bagi membekalkan air ke rumah mereka dan menempatkan beberapa buah tangki statik di beberapa tempat awam seperti surau dan masjid.

Bagi menyelesaikan masalah itu, Atemin berkata, kerja pembesaran dan menaik taraf loji rawatan itu sudah dijalankan dan dijangka siap beberapa bulan lagi. 
 

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Timur_Sebulantiadaair/Article

No comments:

Post a Comment